Orang
melayu sejak zaman dahulu begitu sinonim dengan bercucuk-tanam. Manakala orang
cina pula dengan bidang perniagaan dan perlombongan serta orang india
kebanyakannya bekerja di estet-estet dan ladang-ladang seperti ladang getah (Hevea brasiliensis) dan kelapa sawit (Elaeis guineensis berasal dari Afrika barat dan Elaeis oleifera berasal dari Amerika).
Dasar kolonialisme yang dilakukan British di
Malaysia ialah satu dasar untuk mengeksploitasi rakyat dan sumber daya sesuatu
bangsa demi kepentingan Negara induk iaitu British. Pembahagian tugas kerja
ini telah bermula sejak era pemerintahan british bermula pada tahun 1874 lagi
yang mengasing-asingkan tugasan harian kaum-kaum yang terdapat di Tanah Melayu.
Majoriti kaum yang terdapat di Tanah Melayu sejak dahulu adalah kaum melayu,
cina dan india. Tetapi, kaum melayulah yang mempelopori bidang pertanian di
Tanah Melayu.
Nasi
merupakan makanan ruji bagi penduduk di Malaysia. Jadi, penanaman padi (Oryza sativa) begitu giat dijalankan di
Malaysia sejak berkurun lamanya. Penanaman padi turut mengalami revolusi
sejajar dengan kepesatan pembangunan negara. Dahulu, para petani bercucuk-tanam
secara tradisional tanpa menggunakan bantuan mesin atau jentera. Mereka lebih
banyak memanipulasikan sumber alam sekitar seperti menggunakan tenaga kerbau
untuk membajak tanah bendang atau sawah. Mereka mencipta sendiri alatan bagi
tujuan bercucuk tanam. Sebagai contoh, kuku kambing yang diperbuat daripada
besi dan pemegangnya daripada kayu digunakan untuk menanam padi di petak-petak
sawah. Kini, penggunaan jentera digunakan secara berleluasa bermula dari
membajak tanah, meracun, membaja sehinggalah kepada kerja-kerja menuai
dilakukan. Tokoh agung Melayu seperti Zainal Abidin Ahmad atau
Za’ba pernah mengusahakan tanaman padi dan beberapa jenis tanaman lain ketika
beliau masih kecil dan seringkali membantu ayahnya menanam padi.
Biji
benih padi biasanya diperoleh daripada hasil tanaman padi pada musim terdahulu.
Lalu biji-biji benih itu akan disemai di sebuah petak sawah khas yang telah
dikhususkan bagi tujuan penyemaian. Proses semaian ini mengambil tempoh selama
empat puluh hari sebelum dipindahkan ke petak bendang. Hal ini kerana varieti
padi pada waktu dahulu adalah daripada jenis yang lambat membesar berbanding
dengan varieti padi kini yang cepat membesar dan para petani mampu untuk
menanam padi sebanyak tiga musim setahun berbanding semusim sahaja setahun
mahupun dua tahun. Tapak semaian di bajak menggunakan tenggala iaitu sejenis
alat yang diperbuat daripada kayu dan besi dan ditarik menggunakan tenaga lembu
atau kerbau. Tapak semaian hendaklah dibajak sebanyak dua kali sehingga tanah
itu menjadi rata dan berlumpur. Kemudian air dimasukkan kedalam tapak semaian
dan dibiarkan bertakung selama satu minggu dan selepas itu air dibuang atau
dibuka ke tempat lain. Apabila air di tapak semaian itu kering, tanah diratakan
dengan menggunakan bahan yang berat seperti kayu bulat atau batang pisang yang
dinamakan “pembadai” ditarik dengan penyisir kecil (sisir kapar). Keadaan tanah
yang lembut akan memudahkan kerja-kerja mencabut semai. Setelah itu, barulah
ditaburkan benih padi.
Apabila
urusan menabur benih padi di petak semaian selesai, barulah para petani akan
mengerjakan tanah bendang yang luas terbentang itu. Mereka membajak atau
menenggala, mensisir tanah menggunakan sisir kapar untuk menyediakan medium
tanah yang sesuai bagi pertumbuhan pokok padi. Lalu air dialirkan masuk ke
dalam petak bendang, dibiarkan bertakung sehingga tanah atau rumput yang
dileraikan tadi menjadi masam dan tanah juga menjadi lembut. Pada ketika ini,
semaian benih padi tadi sudah berumur lebih kurang dua puluh lima hari. Setelah
itu, air dibuka dan sawah dibajak atau ditenggala untuk kali yang kedua.
Anak
padi (semai) yang sudah cukup umur (tempoh) akan dicabut dan dijadikan “cap”
atau “unti” (ketul). Biasanya kerja-kerja ini dilakukan oleh kaum wanita secara
berderau (gotong-royong). Semai-semai yang telah siap dijadikan ketul akan
dipindah (angkut) ke petak-petak sawah oleh kaum lelaki dengan menggunakan
pengandar atau salang yang diperbuat daripada buluh atau ditarik menggunakan
palung (sampan kecil). Ketul-ketul semai akan diatur di petak-petak sawah bagi
memudahkan kerja-kerja menanam padi dijalankan. Sebelum proses menanam di dalam
petak sawah dilakukan, anak-anak pokok itu akan direndam semalaman di dalam
sebuah perigi yang dibuat khas yang mengandungi larutan baja gunung. Baja
gunung ialah sejenis baja tahi kelawar yang diperolehi dari gua. Baja gunung
ini digunakan untuk membantu pokok menghasilkan akar sebelum dipindahkan ke
dalam petak sawah.
Cara
penanaman padi dijalankan dengan empat atau lima jalur yang dipanggil “tekap”.
Kerja-kerja menanam padi ini dijalankan dengan menggunakan tangan atau kuku
kambing. Setelah habis semua petak sawah dipenuhi dengan anak pokok,
kerja-kerja penjagaan sawah dilakukan. Kerja-kerja ini meliputi membaja,
merumput, menyulam (menggantikan anak padi yang mati), penjagaan air dan
serangan penyakit padi, tikus dan burung. Kerja-kerja ini dijalankan berterusan
sehingga padi masak. “Orang-orang” atau “selayut” akan dipacak di tepi-tepi
sawah bertujuan untuk menakutkan binatang separti tikus dan burung daripada
memusnahkan padi yang telah masak. Apabila semua padi telah masak, musim ini
dinamakan musim menuai. Dalam masyarakat petani tradisional, musim ini dikenali
juga sebagai musim mengerat atau mengiau. Musim ini biasanya jatuh pada musim
kemarau. Bagi mendapatkan hasil padi, beberapa kaedah tradisi telah digunakan
seperti mengetam, mengiau dan mengerat. Kaedah ini merupakan satu proses untuk
mendapatkan buah padi.
Buah-buah
padi yang masak akan memberat dan menyebabkan pokok padi membengkok seolah-olah
menunduk. Dari itu muncullah pepatah melayu yang berbunyi
“Ikut resmi padi, semakin berisi semakin
tunduk, jangan ikut resmi lalang, semakin tegak tiada berisi”.
Pepatah
melayu itu bermaksud hendaklah kita merendah diri walaupun kita berilmu dan
berpangkat, janganlah kita menyombong diri.
Biasanya,
semangat padi akan dicari dan diambil dahulu sebelum kerja-kerja menuai
dilakukan. Semangat padi diambil dan diperolehi daripada padi sulung atau padi
pertama yang dituai. Secara amnya petani akan menuai sejumlah padi yang
terpilih berdasarkan sifatnya yang istimewa yakni rumpun padi yang mempunyai
sarang labah-labah pada tiga penjuru ataupun rumpun padi yang terdapat ular lidi
di atasnya. Padi ini dikira padat dengan semangat. Bacaan
jampi diadakan sempena padi ini dituai. Salah satu contoh bagi bacaan jampi ini
berbunyi demikian:
Ni, bapa (ibu atau emak), mari nak beritahu, dua(tiga atau esok) hari lagi
bapa nak datang ambil bawa balik ke rumah, jangan terkejut tergempar apa-apa.”
Daripada bacaan jampi di atas, jelasnya semangat padi
itu dilayan dengan penuh hormat lagi sayang. Seterusnya padi ini akan dibawa
balik ke rumah dengan berpayung. Apabila padi ini telah sampai ke rumah tuan
punya sawah ia akan disambut oleh tuan punya sawah dengan penuh hormat. Selepas
itu padi ini simpan dalam bekas yang khas . Pantang menuai selama tiga hari
diadakan selepas upacara ini dan kerja menuai mula dilakukan selepas genap tiga
hari ini.
Upacara ini dilakuakan sesuai dengan perangai semangat
padi yang mudah tersinggung. Bagi menjaga semangat padi, upacara ini dilakukan
dengan penuh takzim sebagaimana ia dibawa dengan berpayung dan “dijaga”dalam
bekas yang dikhaskan untuknya. Bekas tersebut akan digantung atau diletakkan di
penjuru dalam rumah padi yang dipanggil “jelapang”.
Penghasilan beras secara tradisional dijalankan dengan
menggunakan lesung hindik (lesung kaki), pengisar dan penampi padi. Beras yang
telah siap ditumbuk atau dihasilkan melalui proses penghasilan beras tradisi
kemudiannya ditampi dengan menggunakan sejenis alat penampi yang dikenali
sebagai “nyiru telor buaya” yang diperbuat daripada buluh untuk mengasingkan
antah, sekam dan dedak beras bagi menghasilkan beras bersih.
Makanan istimewa daripada beras baru ini ialah emping.
Padi beras pulut dituai sewaktu padi masih lagi muda dan kehijauan. Kemudian
padi itu direndam selama tiga malam bersama-sama dengan kulit lalu digoreng.
Kemudian padi tersebut ditumbuk dan ditampi untuk mengasingkan sekam. Emping
istimewa tersedia dan sedap sekali jika dihidangkan bersama nisan cair iaitu
air gula pokok tai (Borassus
fiabellifera).
Di negeri Sabah, Hari Kaamatan
diraikan setiap tahun selepas aktiviti menuai dijalankan. Pesta Kaamatan atau
Pesta Menuai ini disambut oleh kaum Kadazans Dusuns sebagai meraikan tuaian yang baik,
tetapi Pesta Kaamatan juga disambut oleh semua kaum lain di Sabah. Pesta
Kaamatan biasanya disambut sepanjang bulan Mei. Kemuncak perayaan Kaamatan
adalah peraduan ratu cantik, tarian tradisi, dan upacara kemuncak yang
dijalankan oleh Bobohizan "ketua pendita" Pesta Kaamatan bagi kaum Kadazan juga dikenali sebagai 'Tadau Ka'amatan'. Kaum Kadazan percaya kepada
makhluk halus dan mereka mempercayai terdapat lima jenis makhluk halus yang
dikenali sebagai Kinoingan, Ketua makluk halus dan Pencipta , Rusad semangat
semua benda hidup kecuali manusia, Koududuvo semangat manusia,
Tombivo semangat orang yang telah meninggal, dan Rogon semangat jahat.
Menurut kepercayaan orang
Kadazan, semangat padi merupakan sebahagian daripada Kinoingan yang juga dikenali sebagai Bambaazon, yang
disembah sebagai pencipta dan amat berkuasa sumber kepada kehidupan dan
kewujupan. Semangat padi Bambaazon amat dimuliakan pada pokok padi, beras, dan
nasi. Ramai yang mempercayai bahawa "Tanpa padi, tiada kehidupan."
Ketika pesta Kaamatan, penduduk
Sabah mengenakan pakaian tradisi mereka dan bersuka-ria sepanjang hari. Minuman
tapai "arak beras" dihidangkan sebagai minuman istimewa Pesta Kaamatan.
Penduduk Sabah akan menyapa sesama mereka dengan ucapan 'Kopivosian Tadau
Ka'amatan' atau 'Selamat Hari Menuai'. Pesta Kaamatan ini telah diluluskan oleh Majlis Undangan Kerajaan Koloni
sebagai Cuti Umum sejak tahun 1960 lagi. Beliau yang bertanggungjawab untuk
mengusulkan agar Pesta Kaamatan ini diisytiharkan sebagai Cuti Umum ialah
Allahyaraham YAB Tun Haji Mohamad Fuad Stephens, SMN, PSM. SPDK, PNBS, bekas
Ketua Menteri Sabah yang pertama.
2 comments:
Interesting facts. Thank you.
Useful info.. Thank you
Post a Comment