Sebagai seorang wanita, saya terpanggil untuk berkongsi disamping menyimpan artikel ini untuk diri saya mahupun rakan-rakan yang sangat berguna pada masa hadapan. Artikel ini dipetik daripada akhbar harian metro online.
Oleh Siti Zarinah Sahib
Teringat cerita seorang rakan yang baru saja melahirkan anak pertama. Oleh kerana masih muda dan terdedah dengan gaya hidup moden, dia tidak mengamalkan cara berpantang yang betul sama ada dari segi pemakanan mahupun rawatan tradisi seperti berurut, berbengkung dan bertungku. Akibatnya selepas setahun, dia mengakui sakit badan dan sukar tidur malah ada ketika lenguh pada tangan dan kaki.
Ramai wanita terutama ibu moden masa kini memandang mudah pada amalan berpantang selepas bersalin sehingga tidak mahu mengikut kaedah tradisional terutama perkara yang dianggap menyusahkan diri. Antaranya, minum air campuran herba kerana tidak sanggup menahan rasanya yang pahit, memakai bengkung kerana tempoh melilit yang lama serta bertungku.
Namun sebenarnya, semua amalan berpantang dari saat melahirkan anak sehingga tamat tempoh 44 hari mempunyai maksud tersendiri serta kebaikan yang diperoleh bukan saja dalam tempoh berpantang malah sehingga akhir hayat.
Walaupun ada sesetengah tanggapan ia waktu yang membosankan kerana terpaksa menunggu 44 hari, mereka yang mengetahui rahsianya akan mempergunakan sepenuhnya untuk mengembalikan kecantikan dan kesihatan luar dan dalam.
Walaupun ada sesetengah tanggapan ia waktu yang membosankan kerana terpaksa menunggu 44 hari, mereka yang mengetahui rahsianya akan mempergunakan sepenuhnya untuk mengembalikan kecantikan dan kesihatan luar dan dalam.
Menurut Zuzana Zulkaffle daripada Postnatal Care & Beauty House, pemakanan ialah aspek yang amat penting dalam rawatan pantang bersalin. Ini kerana proses kehamilan mengganggu keseimbangan hormon dan wanita mengalami pelbagai bentuk tekanan dan gangguan emosi akibat perubahan fizikal. Ketika melahirkan anak pula, mereka menggunakan sepenuh tenaga sehingga banyak urat saraf tercedera dan luka.
“Dalam hal ini untuk mengembalikan tenaga serta memulihkan luka, penjagaan makanan amat penting.
Mengikut sesetengah petua Melayu, ibu dalam pantang disyorkan makan nasi berlaukkan ikan masin atau ikan panggang berkunyit dan minum air segelas sehari saja.
“Diet begini tidak lagi sesuai pada masa kini kerana kurang zat serta terdedah kepada risiko penyakit buah pinggang dan tekanan darah rendah. Oleh sebab itu pemakanan haruslah seimbang dan mengandungi semua zat diperlukan tubuh,” katanya.
Dalam hal ini pengambilan ikan amat digalakkan ketika berpantang kerana ikan mengandungi protein dan sangat baik untuk penyembuhan luka. Antara ikan yang disyorkan termasuk haruan, belut dan ikan merah sama ada dibuat sup, dibakar atau dikukus. Ikan berbisa seperti bawal hitam, terubuk, duri, pari, sembilang serta parang dikhuatiri akan menyebabkan bisa atau bentan pada pintu rahim.
Selain itu, jenis ikan yang menyebabkan kegatalan serta menimbulkan reaksi alahan juga tidak digalakkan antaranya kembung, tamban, cencaru atau tongkol dan makanan laut seperti udang, sotong dan kerang.
Zuzana yang mahir mengurut dan mengadakan perkhidmatan dari rumah ke rumah turut menyediakan makanan untuk wanita berpantang terutama makanan tengah hari. Ini bagi memberi peluang kepada wanita kota merasai nikmat berpantang sebenar sekiranya mereka bersendirian di rumah.
“Selain amalan berpantang seperti berurut, bertungku dan berbengkung, saya turut menyediakan makanan berpantang di rumah. Untuk minggu pertama selepas bersalin saya menyediakan nasi yang dimasak bersama daun lemuni hitam. Daun ini mempunyai banyak khasiat iaitu mengembalikan tenaga serta melancarkan peredaran darah. Nasi ini sesuai dimakan bersama sup ikan merah atau sup haruan,” katanya yang turut menyediakan ulam-ulaman seperti pegaga, pucuk mengkudu, ulam raja, lemuni hitam, sekentut, cemumar, pudina, bebuas dan ruku.
Ulam-ulaman ini mengandungi serat, zat galian (mineral) dan pelbagai vitamin, termasuk A, C dan E serta bersifat antioksida.
“Saya juga memastikan hidangan mengandungi sayur-sayuran seperti brokoli dan lada benggala kerana sayur-sayuran ini tidak berangin dan mempunyai khasiat yang tinggi. Tetapi elakkan mengambil sayuran menjalar, sejuk serta berangin seperti kangkung, timun, keladi, pucuk ubi, pucuk paku, bayam, kacang panjang, petola, labu, rebung, petai, jering serta terung,” jelasnya yang turut menggalakkan ibu mengambil buah-buahan seperti anggur dan epal.
Selain itu, mandi menggunakan air rebusan dedaun pada waktu pagi selama seminggu mampu memberi kesegaran, menguatkan otot badan serta memberi haruman pada tubuh. Lebih elok dilakukan selepas selesai bertungku dan berurut dan diamalkan sepanjang tempoh berpantang atau dua minggu selepas bersalin.
Menurut Zuzana, di kampung banyak daun kayu dan pucuk muda boleh digunakan sebagai air rebusan mandian.
Antaranya daun kunyit, serai wangi, kacip fatimah, pandan, lengkuas, daun pisang kelat, daun inai dan daun mengkudu.
“Namun bagi mereka yang tinggal di kota, saya membawa semua daun ini ke rumah pelanggan dan menyediakan air rebusan mandian untuk mereka. Saya juga menasihatkan wanita supaya memulakan jirusan pada bahagian kaki supaya urat tidak tersentak apabila terkena air. Kemudian ulang semula menjirus kaki hingga ke bahu kanan.
“Proses yang sama dilakukan pada bahagian kiri dan seterusnya barulah mandi keseluruhan badan. Daun rebusan itu juga boleh digunakan untuk menggosok badan agar khasiat dan harumannya meresap ke dalam kulit,” katanya yang mengakui amalan mandi sebegini dapat mengeluarkan angin di dalam badan, mengendurkan otot, menghaluskan kulit dan untuk tujuan awet muda.
Memiliki Ijazah Sarjana Muda Urutan Tradisional Melayu daripada Politeknik Shah Alam, Zuzana menambah, urutan sebaiknya dilakukan setiap pagi sebelum mandi atau selepas bertungku seminggu selepas bersalin selama tiga hari berturut-turut atau pada penghujung pantang pada hari ke-42 hingga ke-44, hari ke-60 dan hari ke-100 pantang.
Tujuannya untuk memulihkan kesegaran badan, melancarkan peredaran darah, membuang angin dalam badan, membetulkan urat, memperkemaskan bahagian perut, mempercepatkan pengeluaran darah nifas serta melancarkan pengeluaran susu badan.
“Urutan dilakukan menggunakan minyak yang dibuat sendiri menggunakan herba tradisional kacip fatimah, halia, kunyit serta bawang putih dan merah,” katanya.
Amalan bertungku pula penting kerana dapat menghangatkan badan ibu, membuang angin dan mengecutkan urat selepas bersalin di samping memperbetulkan serta melancarkan perjalanan darah. Selepas bertungku biasanya darah nifas mengalir lebih lancar. Tungku yang diperbuat daripada besi perlu dipanaskan kemudian dibalut kain yang dilapik daun mengkudu.
“Kesan panas daripada tungku akan meresap ke dalam daun dan merawat bahagian badan. Proses ini dilakukan sambil berbaring dan tungku ditekan perlahan-lahan pada sekitar pangkal paha, berhampiran ari-ari dan di atas perut,” katanya yang menggalakkan ibu bertungku selepas habis pantang.
Selepas bertungku, perut disapu dengan ubat barut yang dicampur bersama minyak, kapur sirih dan perahan limau nipis kemudian kain sepanjang 15 meter dililit bermula di kawasan pinggang hingga ke pinggul bertujuan mengurangkan rasa sakit di perut, mempercepatkan pengeluaran darah kotor, mengempiskan perut dan memulihkan kawasan rahim. Ini berbeza dengan bengkung moden yang hanya menggunakan pelekat.
“Selain itu, wanita digalakkan memakai param ke seluruh badan bagi mengelak badan dimasuki angin serta pilis di dahi supaya dapat menghilangkan rasa pening kepala. Namun kini, ia semakin kurang diamalkan,” katanya.
Bagi ibu yang bimbang anak mereka mengalami masalah demam kuning, selepas bersalin Zuzana mencadangkan ibu minum campuran jus kurma dan manjakani yang membantu mengurangkan masalah kuning pada bayi. Malah kurma berkhasiat memberi tenaga manakala manjakani ejen terbaik mengubati luka selepas bersalin. Serbuk manjakani juga sesuai ditaburkan pada hidangan untuk mempercepatkan penyembuhan luka dalaman.
Tambah Zuzana, peringkat penjagaan dalam pantang ini bukan hanya sesuai untuk ibu yang melahirkan anak secara normal malah sesuai untuk kelahiran pembedahan.
“Mungkin pada awal kelahiran, ibu tidak boleh bertungku dan berbengkung sehingga selepas seminggu bersalin dan mengelak menyentuh kawasan pembedahan. Namun dari segi pemakanan, ia sama saja,” jelasnya yang berpengalaman 11 tahun dalam bidang rawatan selepas bersalin.
Dia yang membuka pusat rawatan selepas bersalin di Sungai Besi ini menyediakan pakej bermula seminggu selepas bersalin atau sehingga selesai tempoh berpantang termasuk rawatan urutan badan, bertungku, mandian herba, mandian dan urut bayi serta penyediaan makanan untuk ibu selepas bersalin.
Bagi mereka yang ingin mendapatkan khidmat selepas bersalin boleh melayari laman sesawang www.zuzanapostnatalcare.com.my.
0 comments:
Post a Comment